BACAAN: Ciri-ciri Guru Abad ke-21

6.0 CIRI-CIRI GURU ABAD KE-21

Merujuk kepada Buletin Transformasi Pendidikan Malaysia bil 5/2015, terdapat enam ciri guru abad ke-21 iaitu, 1) menguasai subjek iaitu kandungan kurikulum, 2) mahir dan berketerampilan dalam pedagogi, 3) memahami perkembangan pelajar dan menyokong mereka, 4) memahami psikologi pembelajaran, 5) memiliki kemahiran kaunseling, dan 6) menggunakan teknologi terkini.

Pembelajaran dan pengajaran abad ke-21 diperkenalkan sejajar dengan perlaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Pengetahuan kurikulum merupakan salah satu teras pengetahuan asas yang perlu dikuasai oleh guru. Selepas kurikulum dibentuk dan diperkenalkan, golongan pelaksana kurikulum tersebut iaitu guru harus memainkan peranan seterusnya bagi memastikan hasrat yang terkandung dalam kurikulum mampu bertukar realiti.

Selain kurikulum, guru perlu mempunyai pengetahuan pedagogi mengenai cara-cara untuk menyampaikan ilmu dengan berkesan di samping menguasai pengetahuan isi kandungan perkara yang perlu diajar. Pengetahuan pedagogi isi kandungan merupakan nadi seorang pendidik dan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Pengetahuan pedagogi isi kandungan adalah satu pengetahuan yang unik bagi seorang guru untuk menggambarkan cara guru mengintegrasikan pedagogi terhadap isi kandungan atau perkara yang ingin disampaikan. Antara pedagogi yang selari dengan konsep kelas abad ke-21 termasuklah pembelajaran secara kontekstual, pembelajaran koperatif, pembelajaran kolaboratif, pembelajaran berasaskan projek dan penyelesaian masalah. Malah peranan guru lebih mencabar apabila ketika ini banyak pendekatan yang diperkenalkan dan dititikberatkan dalam sistem pendidikan. Antaranya kurikulum semua mata pelajaran STEM yang menekankan konsep mendidik pelajar dengan mengintegrasikan dan mengaplikasikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dalam konteks dunia sebenar.

Menguasai kemahiran mengesan perkembangan pelajar dan menyokong mereka bermaksud guru perlu mempunyai kemahiran merancang program bagi menyokong dan membantu perkembangan pelajar melalui strategi kepelbagaian kaedah atau aktiviti pelajar, analisis data dari aspek perkembangan pelajar (jasmani, emosi, rohani dan intelek) dan sebagainya.

Menguasai kemahiran psikologi pembelajaran memerlukan guru berkebolehan memahami tingkah laku setiap pelajar untuk memahami pertumbuhan dan perkembangan pelajar seperti meramal tingkah laku, memberi motivasi dan sebagainya serta menghubungkaitkan dengan proses pembelajaran dan pengajaran di dalam mahupun di luar bilik darjah.

Selain itu, memiliki kemahiran kaunseling juga antara ciri guru abad ke-21. Guru-guru perlu mempunyai asas dalam bidang kaunseling dalam pembelajaran dan pengajaran untuk menggalakkan dan meningkatkan potensi pelajar serta mendorong mereka supaya lebih yakin dengan kemampuan diri. Baru-baru ini tersebar satu gambar di media-media sosial yang menunjukkan seorang guru tahun enam sekolah yang sedang menyuapkan makanan kepada seorang calon UPSR yang patah pergelangan tangan kanannya. Sikap guru tersebut membuktikan guru bukan sekadar pendidik, tetapi juga seorang ibu dan kaunselor yang sentiasa menggalakkan dan meningkatkan potensi pelajar.

Dalam era teknologi ini juga, guru-guru abad ke-21 perlu mempunyai kemahiran menggunakan media dan teknologi maklumat terkini. Guru perlu memanfaatkan penggunaan TMK bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Tambahan pula, apabila guru berhadapan dengan generasi digital pada masa kini, guru tiada pilihan. Kemahiran menggunakan komputer, teknologi dan TMK juga semestinya perlu ada pada guru-guru abad ke-21 ini.

Ciri-ciri Guru Abad ke-21

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *